CHIN EEI HUI



Nama Chin Eei Hui sudah tidak asing lagi bagi dunia badminton Malaysia. Beliau adalah antara individu yang cemerlang dalam sukan badminton, sebagai seorang pemain mahupun jurulatih.




Chin Eei Hui lahir pada 18 Jun 1982 di George Town, Pulau Pinang. Beliau adalah bekas pemain beregu wanita dan beregu campuran negara. Pasangannya bagi acara beregu wanita adalah Wong Pei Tty, serta Koo Kien Keat merupakan pasangan beregu campurannya.




Ketika zaman gemilangnya sebagai seorang pemain badminton, Beliau telah berjaya mencipta banyak kejayaan buat badminton negara, terutama dalam kategori beregu wanita.




Eei Hui-Pei Tty berjaya menjulang nama Malaysia di beberapa kejohanan berstatus superseries seperti Terbuka Denmark 2008 dan Terbuka Indonesia 2009, serta muncul naib juara di Kejohanan Terbuka Jepun 2008, Terbuka Perancis 2008, dan Terbuka China 2008.




Mereka juga muncul sebagai juara Kejohanan BWF Superseries Masters Finals dua kali berturut-turut, iaitu pada 2008 serta 2009. Kejayaan demi kejayaan yang diraih berjaya melonjakkan kedudukan mereka sebagai pasangan nombor satu dunia sekitar May 2009.




Prestasi beliau dalam acara beregu campuran juga tidak kurang hebatnya. Walaupun beliau jarang beraksi dalam kategori tersebut, beliau tetap berjaya meraih pingat emas dalam Sukan Komanwel 2010 di New Delhi, India.




Sepanjang penyertaannya dalam Sukan Komanwel, beliau berjaya mengumpul sebanyak 4 pingat emas, 1 pingat perak, dan 1 pingat gangsa. Dua pingat emas berjaya diraih dalam acara berpasukan campuran pada tahun 2006 dan 2010, sementara dua lagi dalam acara beregu wanita (2006), serta beregu campuran (2010).




Di Sukan SEA (Asia Tenggara), beliau telah menggenggam 3 butir pingat emas dan 5 pingat gangsa. 3 emas itu hadir menerusi acara beregu wanita pada 2005 dan 2009, serta acara berpasukan wanita pada 2009 di Vientiane, Laos.




Lain-lain pencapaian Eei Hui di peringkat antarabangsa adalah meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Asia 2004, serta Juara Grand Prix Gold Terbuka Malaysia. Beliau juga membantu Malaysia untuk meraih pingat gangsa dalam kejohanan berpasukan campuran terulung dunia, iaitu Piala Sudirman 2009.




Kini Chin Eei Hui berkhidmat sebagai jurulatih beregu campuran negara bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Pencapaiannya sebagai jurulatih tidak kurang hebatnya di mana beliau telah membawa pasangan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying ke final Sukan Olimpik Rio 2016. Walaupun beliau tidak berjaya menyerlah di sukan utama dunia itu sebagai seorang pemain, namun beliau telah membuktikan bahawa beliau mampu untuk membentuk pasangan beregu campuran bertaraf dunia.




Buat masa ini, beliau mempunyai tiga pasangan beregu campuran yang mampu bersaing di pentas dunia. Antaranya adalah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (ranking 11 dunia), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (ranking 10 dunia), serta bekas pasangan nombor 3 dunia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.




Pada tahun ini, sudah dua gelaran juara berjaya diraih oleh anak-anak didiknya, iaitu menerusi Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang muncul juara Kejohanan Thailand Masters 2018 pada Januari. Sementara itu, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie pula mengungguli Kejohanan Terbuka Jerman 2018 pada March.




Masih ada banyak lagi kejohanan yang akan berlangsung sepanjang tahun ini. Antaranya adalah Sukan Komanwel 2018 (5-15 April), Kejohanan Badminton Asia 2018 (24-29 April), Kejohanan Dunia 2018 (30 July - 5 Ogos), Sukan Asia 2018 (18-29 Ogos), dan lain-lain. Semoga dalam kejohanan yang masih berbaki ini, skuad badminton negara mampu menyerlah dan menumbangkan negara-negara kuasa besar dalam sukan ini.

Comments