Assalamualaikum dan selamat sejahtera, Malaysia Badminton News (MBN) merupakan halaman yang berkisar tentang informasi dan perkembangan semasa sukan badminton negara.
Sebenarnya, MBN sudah aktif selama beberapa tahun di Facebook dan sentiasa berkongsi perkembangan terkini setiap kejohanan yang disertai oleh atlet-atlet badminton Malaysia, sama ada kejohanan kebangsaan mahupun antarabangsa.
Umum mengetahui, atlet-atlet badminton negara sudah pun bertaraf dunia sejak sukan badminton mula diperkenalkan sehinggalah ke hari ini. Contohnya Datuk Misbun Sidek, Datuk Jalani Sidek, Razif Sidek, Yap Kim Hock, Cheah Soon Kit, Datuk Wira Lee Chong Wei, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon, Goh Liu Ying, dan ramai lagi. Nama-nama yang disebut di atas merupakan antara penyumbang pingat perak serta gangsa di temasya sukan yang terbesar dunia, iaitu Sukan Olimpik.
Sebagai rekod dalam acara berpasukan pula, Malaysia sudah 5 kali muncul juara Piala Thomas pada tahun 1949, 1952, 1955, 1967, 1992, serta 9 kali muncul sebagai naib juara pada tahun 1958, 1970, 1976, 1988, 1990, 1994, 1998, 2002, 2014. Ia menjadikan Malaysia sebagai negara kedua terbanyak yang berjaya melangkah ke final, selepas Indonesia.
Walau bagaimanapun, masih belum ada pemain badminton negara yang berjaya membawa pulang pingat emas di Sukan Olimpik. Pencapaian yang paling membanggakan setakat ini adalah menerusi Datuk Wira Lee Chong Wei yang berjaya meraih tiga pingat perak di temasya berkenaan dalam tiga edisi berturut-turut, yakni Beijing 2008, London 2012, dan Rio 2016. Namun, kesemuanya tumpas di tangan pemain dari China, Lin Dan (2008, 2012) serta Chen Long (2016).
Ketika Olimpik Rio 2016, Malaysia begitu hampir dengan pingat emas olimpik pertama, di mana atlet-atlet negara berjaya melangkah ke final dalam tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan. Mereka adalah Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki), dan Datuk Wira Lee Chong Wei (perseorangan lelaki). Namun, masih belum ada yang kilauan emas buat Malaysia.
Akhir kata, semoga Sukan Olimpik yang akan datang, iaitu Tokyo 2020 adalah tahun yang bertuah buat Malaysia. #MalaysiaBoleh
Comments
Post a Comment