DUBAI WORLD SUPERSERIES FINALS 2017



Kejohanan yang sedang berlangsung minggu ini adalah 'World Superseries Finals' yang berlangsung di Dubai. Kejohanan ini merupakan antara kejohanan yang sering mendapat perhatian dari pemain-pemain dunia kerana wang tunai yang ditawarkan berjumlah USD 1,000,000.

Namun, kejohanan ini mempunyai beberapa peraturan atau kriteria yang perlu dipenuhi oleh para pemain sekiranya ingin diundang ke kejohanan ini. Antaranya adalah hanya pemain-pemain yang berada di kedudukan lapan terbaik dalam ranking superseries sahaja yang layak beraksi di kejohanan ini.

Malaysia mempunyai dua wakil yang berjaya melayakkan diri ke kejohanan berkenaan. Pemain-pemain tersebut adalah Datuk Wira Lee Chong Wei dalam kategori perseorangan lelaki, dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dalam kategori beregu campuran.

Format kejohanan ini adalah para peserta perlu bermain di peringkat kumpulan terlebih dahulu, kemudian juara dan naib juara kumpulan akan mara ke peringkat separuh akhir.

Proses pengundian bagi peringkat kumpulan yang dijalankan sehari sebelum kejohanan ini membuka tirai, menyaksikan di mana wakil perseorangan lelaki negara, Datuk Wira Lee Chong Wei diundi di dalam kumpulan A bersama tiga lagi pemain, iaitu Son Wan Ho (Korea Selatan), Angus Ng Ka Long (Hong Kong), serta Chen Long (China). Namun Chen Long menarik diri di saat-saat akhir akibat kecederaan. Bagi wakil beregu campuran negara pula, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing berada di kumpulan B bersama Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir (Indonesia), Wang Yilyu-Huang Dongping (China), serta Chris Adcock-Gabrielle Adcock (England).


Hari ini merupakan hari ketiga kejohanan ini berlangsung. Pada hari Rabu yang lalu, Datuk Wira Lee Chong Wei telah berjaya memenangi perlawanan pertama peringkat kumpulan, dengan menumpaskan wakil dari Hong Kong, Angus Ng Ka Long dengan skor (21-14, 21-13) dalam masa 40 minit.


Sementara itu, pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tidak berjaya meraih satu pun kemenangan apabila tumpas kedua-dua perlawanan peringkat kumpulan. Pada hari Rabu yang lalu, mereka ditewaskan oleh pasangan China, Wang Yilyu-Huang Dongping dengan keputusan (12-21, 11-21) dalam masa 36 minit. Hari berikutnya, mereka terpaksa akur dengan keunggulan lawan yang juga merupakan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, iaitu Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir wakil dari Indonesia, dengan skor (17-21, 19-21) dalam masa 50 minit. Selepas dua kekalahan berturut-turut menyebabkan mereka gagal melepasi peringkat kumpulan. Tetapi, mereka masih mempunyai satu lagi perlawanan terakhir bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan.



Hari ini (Jumaat), akan berlangsung perlawanan terakhir peringkat kumpulan bagi menentukan siapakah yang akan melangkah ke peringkat separuh akhir. Datuk Wira Lee Chong Wei dijadual menentang Son Wan Ho 🇰🇷, sementara itu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing pula akan menentang Chris Adcock-Gabrielle Adcock dari England. Semoga berjaya ! #MalaysiaBoleh

Comments