Kegagalan menyesuaikan diri dengan pantas terhadap perubahan corak permainan lawan menyaksikan beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas di pentas final kejohanan badminton Malaysia Masters, di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini hari ini.
Meskipun tampil dengan persembahan bertenaga, terutama ketika perlawanan separuh akhir, V Shem dan Wee Kiong tidak berjaya mengulangi aksi cemerlang itu apabila berdepan beregu dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto di final. Mereka terpaksa akur tumpas dengan keputusan 21-14, 22-24, 13-21.
"Bukan hanya kesilapan daripada kami, gandingan Indonesia mempamerkan persembahan yang cemerlang dan kami gagal untuk menyaingi mereka," kata V Shem.
Wee Kiong juga mengakui lewat memberi tindak balas terhadap perubahan strategi lawan membuatkan mereka sering melakukan kesilapan.
"Secara keseluruhan, kami telah bermain dengan baik. Dalam set kedua, banyak mata diberikan kepada lawan, sekali gus meningkatkan motivasi mereka untuk memenangi perlawanan ini," ujar Wee Kiong.
"Ini merupakan pengajaran besar buat kami, kami lambat memberikan tindak balas dan kami akan pastikan perkara ini tidak berlaku lagi dalam kejohanan seterusnya," ujarnya lagi.
"Kami akan beri tumpuan yang lebih semasa dalam latihan dan juga kepada permainan kami selepas ini," katanya selepas tamat permainan.
Berikut adalah beberapa aksi menarik mereka pada perlawanan akhir tersebut :
Di sebalik kekalahan di pentas akhir ini, ia masih boleh dianggap pencapaian yang membanggakan setelah mereka kembali digandingkan pada awal tahun ini. Kali terakhir mereka meraih kejayaan di pentas antarabangsa adalah dalam final Siri Super Dubai 2016, sebelum dipisahkan seketika ekoran krisis prestasi pada tahun 2017.
Dalam perjalanan menuju ke perlawanan akhir, mereka berjaya menundukkan beberapa pasangan terbaik dunia, termasuk juara dunia 2017, Liu Cheng-Zhang Nan dari China di peringkat suku akhir. Sebelum itu, mereka berjaya mengenepikan juara All England 2016, iaitu gandingan Russia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov di pusingan pertama.
Semoga kejayaan ini dapat diteruskan di kejohanan-kejohanan yang penting buat Malaysia pada tahun ini. Antaranya adalah Sukan Komanwel 2018 (Gold Coast, Australia), Sukan Asia 2018 (Jakarta-Palembang, Indonesia), Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 (Alor Star, Malaysia), dan Piala Thomas 2018 (Bangkok, Thailand).
Comments
Post a Comment