SKUAD THOMAS NEGARA MUNCUL SEBAGAI EMPAT PASUKAN TERBAIK ASIA


Langkah skuad badminton berpasukan lelaki negara dalam Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2018 (BATC2018) terhenti di peringkat separuh akhir apabila tumpas 1-3 kepada pasukan gergasi dunia, China. Walaupun pasukan China tidak menurunkan pemain-pemain terbaik mereka seperti Lin Dan (pemenang pingat emas Olimpik 2008 & 2012), Chen Long (pemenang pingat emas Olimpik 2016), Zhang Nan (pemenang pingat emas Olimpik 2012 & 2016), dan lain-lain, namun kemampuan yang dimiliki oleh barisan pemain muda mereka belum mampu disaingi oleh skuad negara.

Dalam perlawanan tersebut, skuad negara merehatkan Datuk Wira Lee Chong Wei dan membariskan pemain-pemain muda bagi menggalas cabaran negara. Lee Zii Jia, 19 tahun, turun selaku pemain perseorangan lelaki pertama negara tidak berjaya menyumbangkan mata buat negara apabila tumpas di tangan pemain di ranking ketujuh dunia, Shi Yuqi dengan keputusan (18-21, 9-21) dalam masa 38 minit.




Kemudian, gandingan peraih pingat perak Olimpik 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong kembali menghidupkan peluang Malaysia, apabila berjaya menumbangkan gandingan He Jiting-Tan Qiang dengan skor (21-18, 21-12). V Shem-Wee Kiong hanya memerlukan 31 minit untuk menghadiahkan mata pertama buat negara, sekali gus menyamakan kedudukan menjadi 1-1.




Perseorangan lelaki kedua negara, Soong Joo Ven gagal mendapatkan mata pendahuluan buat negara apabila tewas di tangan Qiao Bin dengan keputusan (17-21, 8-21). Joo Ven tampak berjaya mengimbangi permainan lawannya pada set pertama, namun tidak berjaya untuk bangkit di set kedua yang menyaksikan dia terpaksa akur dengan kekuatan pihak lawan. Pertarungan yang memakan masa selama 52 minit tersebut menyebelahi lawan, dan ia memberi kelebihan buat China untuk kembali di depan dengan kedudukan 1-2.




Perlawanan keempat pula menyaksikan beregu lelaki kedua negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turun dengan misi wajib menang untuk kembali menghidupkan peluang negara. Tekanan yang tinggi buat pasangan negara nyata tidak berjaya ditangani dengan baik, apabila mereka kalah kepada pasangan China yang sedang meningkat naik, iaitu Han Chengkai-Zhou Haodong dengan skor (15-21, 13-21), dan meranapkan impian negara untuk ke final.




Dengan ini, skuad lelaki negara perlu berpuas hati berkongsi kedudukan dengan Korea Selatan di tempat ketiga dan keempat. Pingat emas berjaya digenggam oleh Indonesia yang menumbangkan China 3-1 di final. Perak menjadi milik China, sementara Malaysia dan Korea Selatan meraih pingat gangsa.

Walau bagaimanapun, sasaran utama negara untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dan meraih tiket automatik ke Piala Thomas 2018 sudahpun tercapai. Strategi Malaysia untuk menurunkan pemain muda dalam perlawanan separuh akhir tersebut adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada pemain-pemain muda bagi persediaan menghadapi Piala Thomas 2018 yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand, Mei ini.

Bagi skuad wanita negara pula, terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas mudah 0-3 kepada Korea Selatan. Skuad wanita negara juga telah berjaya ke Piala Uber 2018 berdasarkan ranking yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Dunia (BWF) baru-baru ini.




Empat negara terbaik dalam kejohanan ini akan mendapat slot automatik ke Piala Thomas 2018. Negara-negara tersebut adalah Indonesia (pingat emas), China (pingat perak), Malaysia (pingat gangsa), dan Korea Selatan (pingat gangsa).




Bagi kategori wanita pula, negara-negara seperti Japan (pingat emas), China (pingat perak), Indonesia (pingat gangsa), dan Korea Selatan (pingat gangsa) berjaya menempatkan diri di kedudukan empat pasukan terbaik Asia, dan layak ke Piala Uber 2018 secara automatik.

Comments