Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berjaya mengungguli Kejohanan Terbuka Jerman 2018 setelah menumbangkan pasangan Denmark, Niclas Nohr-Sara Thygesen dalam aksi final, semalam. Perlawanan yang mengambil masa selama 46 minit itu berkesudahan dengan skor 21-14, 22-20 berpihak kepada pasangan negara.
Kejuaraan ini menjadikan juara kebangsaan dua kali itu kembali merampas kedudukan sebagai beregu campuran nombor satu negara.
"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Perasaan saya bercampur-baur, yang pasti saya sangat gembira," ungkap Shevon.
"Kami sangat berterima kasih kepada jurulatih kami (Chin Eei Hui, Pang Cheh Chang dan Teo Kok Siang) dan pakar ISN (Institut Sukan Negara) kerana banyak membantu kami agar sentiasa berada dalam keadaan terbaik," tambahnya.
"Kami tahu peluang kami agak besar selepas melangkah ke perlawanan akhir kerana kami pernah menewaskan pasangan Denmark tersebut sebelum ini," ujarnya.
"Berdasarkan pengalaman masa lalu banyak mengajar kami untuk lebih tenang di atas gelanggang, dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan ini," kata Shevon.
Berikut adalah beberapa aksi menarik mereka dalam perlawanan akhir tersebut :
Selepas ini, mereka akan berlepas ke England bagi menghadapi Kejohanan Seluruh England 2018 yang akan membuka tirai pada 14 Mac ini.
Comments
Post a Comment