Bekas jurulatih kebangsaan, Jeremy Gan, 39 menggunakan magisnya dalam membimbing pasangan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino untuk menjuarai Kejohanan Seluruh England 2018 dalam kategori beregu campuran.
Gandingan muda Jepun tersebut memerlukan tempoh selama 62 minit sebelum berjaya menumbangkan pasangan dari China, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dengan skor 15-21, 22-20, 21-16.
Untuk rekod, ini merupakan sejarah baharu buat pasukan Jepun kerana buat kali pertama mengungguli acara beregu campuran di kejohanan besar dunia. Disebalik kejayaan ini, Jeremy dianggap sebagai watak penting dan beliau hanya memerlukan tempoh 3 bulan untuk membentuk gandingan yang mantap buat skuad beregu campuran Jepun.
Pada September yang lalu, Jeremy telah menyerahkan surat perletakkan jawatannya sebagai jurulatih beregu lelaki negara kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Jeremy Gan adalah antara individu yang bertanggungjawab dalam membentuk gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) semasa Kejohanan Piala Thomas 2014. Dengan khidmatnya juga, V Shem-Wee Kiong berjaya menyambar pingat emas dalam Sukan Komanwel 2014 bagi acara beregu lelaki dan berpasukan campuran.
Selain itu, kejayaan beliau yang pasti diingati oleh para penggemar sukan badminton tanah air sudah pasti ketika Sukan Olimpik Rio 2016, di mana beliau berjaya membawa Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) untuk meraih pingat perak, sekali gus menjadi tahun yang gemilang buat Malaysia sepanjang menyertai sukan terbesar di dunia itu.
Beliau turut memainkan peranan penting apabila berjaya membantu Peng Soon-Liu Ying mara ke final Kejohanan Seluruh England pada edisi yang lalu. Namun, berikutan beberapa keputusan kontroversi yang dilakukan oleh pengadil perlawanan telah meragut peluang pasangan negara untuk muncul juara pada kejohanan tertua di dunia itu.
Tidak dilupakan juga, beliau turut berjaya membawa V Shem-Wee Kiong untuk menjuarai beberapa kejohanan berstatus superseries seperti, Terbuka Denmark 2016, dan Dubai World Superseries Finals 2016, serta memegang status sebagai beregu nombor satu dunia di penghujung tahun 2016.
Beliau juga pernah dianugerahi Kesatria Mahkota Wilayah (KMW) oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, bersama-sama dengan V Shem-Wee Kiong atas kejayaan yang begitu membanggakan di Sukan Olimpik 2016.
Diharapkan perjalanan karier Jeremy Gan sebagai jurulatih terus berkembang dan akan menjadi antara jurulatih terhebat di dunia. Semoga Jeremy akan pulang ke Malaysia bersama pengalaman yang berguna dan kembali melatih skuad badminton negara bagi terus melahirkan lebih ramai pemain badminton bertaraf dunia.
Comments
Post a Comment